Tersedar dari leka, dengan segera aku melangkahkan kaki kearah sofa di ruang tamu dan membaringkan badanku di atas bantal empuk di situ. Rancangan yang disiarkan di televisyen tidak dapat aku tumpukan sepenuh perhatian. Perasaan aku tertarik-tarik ingin mengetahui keadaan nenek. Angka jam sudahpun menunjukkan pukul 5.30 petang. Dengan tidak ku duga, aku terlelap di situ sehingga tidak sedar kereta mak dan ayah yang bertolak.
Dumm!! Aku dikejutkan dengan bunyi petir di luar rumah. Dengan segera aku bingkas bangun dan melihat jam tangan. Jam sudahpun menunjukkan pukul 7.15 malam. Perutku pula berbunyi minta diisi. Aku bangun menuju ke arah dapur untuk menjamu makan malam. Setelah selesai membasuh pinggan makan, aku menuju ke arah ruang tamu semula. Aku kebingungan. Entah ingin berbuat apa? Mana tidaknya, sudahlah berseorangan di rumah. Dengan segera televisyen aku padamkan.
Selepas berpaling, aku menuju semula ke arah televisyen dan membuka semula siaran televisyen itu. Dengan tiba-tiba aku mendengar bunyi bising dari tingkat atas. Hujan di luar yang sedari tadi rintik-rintik kini sudah kedengaran semakin lebat. Petir pula saling sabung-menyabung. Aku melangkahkan kakiku menaiki anak tangga. Setibanya di hadapan pintu bilik tidurku, dengan perlahan aku membuka pintu. Setelah pintu tersebut terbuka luas, aku mendapati bilik tidurku gelap. Patutlah aku lupa memasang lampu bilik tidur petang tadi.
Aku mencari suis lampu di tepi dinding. Aku terkejut yang amat sangat, apabila dengan tiba-tiba tanganku menyentuh sesuatu ... tangan orang! Tambahan pila tangan itu yang begitu sejuk sekali. Dengan segera aku menekan suis lampu. Setelah bilik menjadi terang-benderang, tiada pun aku melihat kelibat manusia di situ, apatah lagi kucing juga tikus. Yang aku lihat masa itu adalah buku-buku dan gambar nenek dalam keadaan bertaburan di atas lantai. Aku mendiamkan diri. Tiada sepatah kata pun aku mampu ucapkan. Seram pun terasa jugak. Aku mengerutkan dahi dengan seribu tanda-tanya.