Kunjungan - Part 2 (2011)




     Malam semakin pekat. Hujan di luar semakin lebat. Apa yang aku inginkan ketika itu adalah kebenaran dari semua petanda-petanda yang berlaku dalam rumah itu. Dengan segera aku mengemas dan menyusun kembali buku-buku ke atas rak buku dan menyimpan gambar nenek di dalam album. Aku mengambil tong sampah kecil yang disediakan di dalam bilikku dan membawa turun ke bawah untuk membuang sampah memandangkan tong sampah dalam bilikku sudah penuh. Itulah kerja yang ada untuk menyedapkan hatiku. Namun, sampah di dapur sudahpun penuh juga. 

     Aku mengambil keputusan untuk tidak membuang sampah ke tong sampah besar di luar rumah. Namun setelah fikir kembali, bukannya jauh manapun tong sampah di luar tu, kenapa tidak buang terus ke situ? Oleh itu, dengan keterpaksaan aku mengambil sampah di dapur sekali untuk dibawa ke tong sampah yang besar di luar rumah untuk membuang sampah. Hujan lebat masih tidak lagi berhenti-henti menjatuhkan mutiara-mutiara kecil juga besar. Begitu jugak dengan petir yang sememangnya dari tadi tidak berhenti-henti. Aku mempercepatkan langkah kakiku dan melontar plastik sampah ke dalam tong sampah besar tersebut dan aku berlari semula ke dalam rumah.

     Setelah masuk ke dalam rumah, perasaan mistik menghantuiku. Aku mendapati televisyen padam. Bagaikan ada orang yang memadamkannya. Aku menuju ke arah bilik mandi di tingkat bawah lalu mengambil tuala untuk mengelap badanku yang basah kuyup ketika itu. Setelah itu, barulah aku kembali ke ruang tamu untuk memasang semula televisyen yang terpadam itu. 

     Apabila aku menekan suis pasang, dengan tidak ku duga dan tidak aku inginkan ... tiba-tiba lampu seluruh rumahku padam sama sekali! Dap dup dap dup dap dup! Degupan jantungku semakin kencang. Aku kaku untuk bergerak. Tanganku masih lagi menyentuh suis. Bulu romaku pula lagilah teruk. Semua meremang. Kenapalah perkara-perkara pelik begini berlaku? Fikirku ketika itu. Aku betul-betul ketakutan. Memang seluruh rumah gelap-gelita. Aku tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu. Dan yang menyeramkan aku ketika itu, bagaikan ada seseorang dibelakangku. Untuk memastikan kebenaran itu, dengan perlahan-lahan aku mendudukkan diri di situ menunggu sehingga keadaan menjadi terang semula. Itupun sudah terseksa bagiku. Ingin berlari pun tidak tahu ingin ke mana. Memang semua yang aku ingin lakukan ketika itu terbantut!

    Petir memancarkan cahayanya di luar rumah beserta hujan yang masih lebat. Degupan jantungku berdegup perlahan pula kali ini. Mataku mencari di setiap sudut bilik untuk memastikan tiada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba, aku melihat bayangan seorang wanita berdiri tidak jauh di hadapan ku. Aku yang masih duduk itu menggigil ketakutan. Serasa ingin sahaja menjerit sekuat hati, namun lidah pula kelu. Sekali lagi petir memancarkan cahaya, aku melihat wanita itu berjalan perlahan-lahan menuju ke arahku. Aku hanya mampu memendam rasa takut yang menyelubungi diriku ketika itu. Aku menoleh ke arah tepi tidak ingin memandang ke arah bayangan itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...