Kunjungan - Part 4 (2011) Tamat


     

     Wajah nenek ku tatap dengan lamanya. Bibir dia bergerak-gerak bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Dalam kelekaan aku memerhatikan semua itu, aku disedarkan pulak dengan bunyi batuk nenek yang berkali-kali. Dengan segera aku mempelawa nenek masuk ke dalam rumah. Badannya kelihatan menggigil. Mungkin kesejukan. Setelah mendudukkan nenek di atas sofa, aku pula melangkahkan kaki menuju ke arah bilik tamu untuk mengambil tuala. Badan nenek perlu ditutup dengan tuala agar tidak kesejukkan. 
     
     Dari tadi aku tidak mengeluarkan kata-kata sehinggalah ketibaan nenek di pintu utama sebentar tadi. Banyak soalan yang aku ingin persoalkan. Tanda-tanya yang bermain di fikiranku ketika itu belumku ajukan kepada nenek. Untuk memulakan peranan, aku duduk di hadapan nenek. Wajah itu tunduk bagaikan rasa bersalah juga ketakutan. "Nenek, mana mak dan ayah Amir?" Dengan segera soalan itu terpancul dari mulutku. Dalam keadaan menggigil dan tunduk nenek menjawab, "aku sejuk, cu." Aku mengerutkan dahi.
     
     Keadaan sunyi seketika. Air kopi dihadapan nenek belum diteguk lagi. Soalan aku sebentar tadi dibiarkan berlalu begitu sahaja, tidak berjawab. Aku cuba untuk menyoal nenek sekali lagi. "Nek, nenek naik apa datang sini tadi? Nenek kan sakit?" Soalku lagi. Sekali lagi nenek menjawab, "aku sejuk, cu. Sejuk." Sekali lagi aku mengerutkan dahi. Aku cuba untuk memahami keadaan nenek yang kesejukkan itu dan memutuskan untuk berdiam diri. Tidak ingin memaksa nenek menjawab. 
     
     Setelah kedua kalinya soalanku berjawab dengan jawapan yang sama, aku memutuskan untuk menyediakan kopi untuk nenek. Supaya dia merasa segar dan dapat memanaskan badan dia. Aku melangkahkan kakiku ke dapur meninggalkan nenek di ruang tamu. Perasaan ku pula sedikit seram melihat keadaan nenek yang sebegitu.
     
     Ketika aku sedang leka menyiapkan air kopi di dapur, kedengaran pula telefon rumah berdering. Aku meminta nenek untuk menjawab talian memandangkan aku ada kerja di dapur. Mungkin talian dari mak dan ayah. Telefon masih lagi berdering. Aku menuju ke arah pintu dapur dan melihat ke arah sofa. Nenek masih tidak berganjak dari situ. Dengan segera aku menjawab sementara telefon masih berdering. 
     
     "Hello?" Soalku menjawab talian. "Amir, ini mak. Nenek dah tak ada. Nenek dah meninggal." Kedengaran suara sayu beserta tangisan mak di hujung talian. Aku pula diselubungi perasaan terkejut yang amat sangat. Dengan segera aku menoleh ke arah sofa. Lebih mengejutkan lagi, nenek sudah tiada di situ. Aku mendiamkan diri tanpa kata. Baharulah aku mengerti. Mungkin sebab itulah banyak kejadian-kejadian aneh yang menimpaku dari tadi. Nenek ingin memberitahu ku yang dia telahpun meninggal. Apakah aku perlu menceritakan semua yang berlaku kepada mak dan ayah?




T.A.M.A.T


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...